Isnin, 11 Mei 2015

DUNIA DAN AKHIRAT

Assalamualaikum..

Didoakan moga anda kaya dan berjaya di sepanjang masa..

Sudah lama saya tidak up date entri di dalam blog ini. Sibuk dengan kerja hakiki dan bisnes sambilan membuatkan saya sangat sibuk dan jarang ada masa mengadap komputer.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai kehidupan dunia dan akhirat. Saya bukan ustaz tetapi sekadar berkongsi dan memberikan pendapat peribadi.

Kita dijadikan oleh Tuhan dan diberi nikmat yang sangat banyak. Tidak terkira dek jari untuk menghitung berapa banyak nikmat yang telah kita nikmati dan rasai sehingga kini. Nikmat-nikmat ini diberi sama ada kita seorang yang taat kepada perintah Tuhan ataupun tidak. Itulah sifat "Ar-Rahman" Tuhan yang tiada bertepi. Tuhan pemurah terhadap semua hambanya.

Kehidupan dunia ibarat pelabuhan yang menjadi persinggahan sementara bagi mengisi bekalan untuk perjalanan yang lebih panjang. Ia sangat singkat. Masa yang singkat itu ada yang diisi dengan bekalan takwa dan ada yang sebaliknya.

Kehidupan dunia penuh dengan dugaan. Sebaliknya kehidupan akhirat adalah kenikmatan ataupun kesengsaraan. Kenikmatan bagi yang bertakwa dan kesengsaraan bagi yang derhaka. Kehidupan akhirat adalah kehidupan hakiki dan abadi. Ia sebenarnya destinasi  sebenar kita sebagai seorang hamba.

Ketika ini ada yang dikurniakan nikmat syurga dan ada yang dicampakkan ke dalam jurang neraka. Ia bergantung sejauh mana kita "beringat" ketika mengisi bekalan pada kehidupan dunia.  Banyak yang leka dan tidak mengisi bekalan secukupnya dan akhirnya menyesal ketika di akhirat.  Ketika ini ianya sudah terlambat.

Saya berpesan kepada diri saya dan semua yang membaca moga kita isi kehidupan dunia ini dengan bekalan yang secukupnya. Laksanakan amalan wajib dan jangan ditinggalkan. Lalukan bersungguh-sungguh. Disamping itu, tambahkan bekalan dengan amalan-amalan sunat seperti berzikir dan solat malam. Lakukan secara berterusan walaupun sedikit.

Apa yang menjadi kunci yang memasukkan kita ke dalam syurga adalah sifat "Ar-Rahim" Tuhan. Jika kita melakukan segala suruhan-Nya maka tiada sebab kita menjadi penghuni syurga sebaliknya jika kita masih menyimpang jauh dari Tuhan masih ada kesempatan untuk bertaubat.

Moga saya dan anda semua beroleh syurga di kehidupan akhirat kelak. Moga kita berjaya di dunia dan akhirat. Insya-ALLAH..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...