Salam semua, moga dilimpahi dengan rahmat Allah.
Kita perlu bersyukur dan terus bersyukur kerana kita dapat hidup dengan selesa dan aman di bumi Allah ini. Kita sering lupa dan merasakan diri sentiasa sempurna. Kita lupa yang kita adalah hamba kepada Maha Pencipta.
Setiap hari kita akan mengungkit setiap pemberian yang kita beri dalam sedar mahupun tidak. Setiap kali kita tidak berpuas hati, pasti kita akan mengungkit apa sahaja di masa lalu. Hati diselimuti dengan rasa ego dan sombong sehinggakan kita merasakan diri kita yang terbaik.
Mengungkit menyebabkan segala amal ibadat kita menjadi sia-sia. Keikhlasan kita terhapus begitu sahaja seperti kertas yang bakar hangus. Sedikit demi sedikit api itu akan memamah cebisan keikhlasan kita sehingga akhirnya habis terbakar.
Saya mengingatkan diri saya sendiri agar sentiasa ikhlas dengan setiap pemberian kita. Lakukan setiap kebaikan tanpa mengharap apa-apa balasan dunia. Kita hidup cuma beberapa detik dan akhirnya akan bertemu dengan Maha Pencipta. Jangan biarkan diri kita 'malu besar' di depan Allah kerana mengadap-Nya dengan amalan yang sia-sia belaka. Buku amalan kita akan 'dilempar' ke muka dengan kasar.
Lakukan satu-satu amalan secara ikhlas dan lupakan. Jangan ingat setiap amalan baik itu tetapi kita perlu sentiasa ingat setiap kejahatan dan kesilapan yang pernah kita lakukan.
BUAT BAIK DAN LUPAKAN
BUAT JAHAT INGAT SELALU
Kita perlu sentiasa merenung diri kita dan perhatikan segala kecacatan amalan kita. Adakah kita orang yang mendapat rahmat atau sebaliknya? Masa makin berlalu dan kita sebenarnya kesuntukan untuk bertindak. Selagi masih berbaki nyawa di badan, maka jangan persiakan.
JANGAN MENGUNGKIT JIKA TERSEPIT
TIMBANG TARA SETIAP AMALAN
Moga sedikit peringatan ini dapat kita renung dan jika ada yang membaca insya-Allah moga kita mendapat hidayah dari Allah.
Yakin, Usaha, Pasrah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan