Jumaat, 28 Februari 2014

UJIAN HIDUP SEBAGAI BONUS!!


Mungkin tajuk kali ini membuatkan anda garu kepala. Bagaimana ujian hidup boleh menjadi bonus bagi kita? Ujian hidup yang ramai orang tahu adalah panca roba, cubaan, tekanan, keluh kesah dan pelbagai lagi tanggapan negatif. Adakah ini bonus??

Mari kita berfikir di luar lingkup pemikiran biasa. Lihat sekeliling kita. Renung sedalamnya. Kalau boleh catat dan tuliskan satu persatu segala nikmat yang kita perolehi dari mula dilahirkan sehingga kini. Kalau hidup sudah 50 tahun, buat senarai ringkas segala nikmat kurniaan tuhan kepada kita.

Saya bagi anda 10 minit, 30 minit atau setahun.. Nescaya anda tidak akan mampu menyenaraikannya. Nikmat dari tuhan tiada taranya. Udara, cahaya, hujan, makanan, minuman dan pelbagai lagi menjadikan anda mewah sebagai seorang "hamba" di muka bumi ini. Tanpa sebarang bayaran mahupun tukaran daripada tuhan kepada anda. Percuma 100%.

Dalam menjalani kehidupan ini, anda pasti menghadapi sedikit ujian di dalam hidup. Anda akan mengeluh. Anda memaki hamun. Anda mengata orang lain. Malah yang lebih teruk, anda mempersoalkan semua ini pada tuhan. Anda marah dan menghamburkan kata-kata nista kepada tuhan yang memberi ujian. Anda merasakan andalah insan yang paling teraniaya dengan sedikit ujian itu.

Anda lupa dengan nikmat-nikmat dari tuhan yang diberi-Nya secara percuma. Anda menjadi derhaka kerana ujian itu. Mari kita renung dan timbang segala peri laku kita yang terlanjur sebelum ini. 

Ujian hidup jika dihadapi dengan sabar maka, tuhan akan membantu kita keluar daripada masalah itu. Kita hanya perlu sabar dan sentiasa mengingati-Nya. Kita ingat tuhan semasa senang tetapi lupakan-Nya ketika susah malah ada yang langsung tidak mengingati-Nya.

Hidup adalah ujian terbesar dari tuhan. Adakah kita akan lulus atau gagal. Keputusan ujian ini akan kita tahu dihadapan tuhan kelak. Di saat itu, tiada guna pangkat dan harta. Kita akan mengadap tuhan secara berseorangan. Di situ untung nasib kita ditentukan.

Ambil ujian di dalam hidup ini sebagai bonus untuk mengumpul bekalan ke akhirat kelak. Kita perlu terus sabar dan sentiasa ingat kepada tuhan. Jangan lalai dengan nikmat dunia. Moga kita beroleh ganjaran syurga daripada tuhan.

Yakin, Usaha, Pasrah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...