Jumaat, 17 Januari 2014

PENGALAMAN BERTARUNG DENGAN JIN


Saya bukanlah Juru Sembuh atau Pengamal Perubatan tetapi sekadar mengamalkan ilmu yang tidak seberapa ini. Baru-baru ini saya menolong seorang 'pesakit' yang saya bagi nama S.

S mengadu sakit badan dan lemah sehingga sukar membuat kerja rumah. Kadang-kadang S sering sakit pada bahagian perut. Sakit macam dicucuk-cucuk terutama di waktu 'datang bulan'. Ada kalanya S sukar untuk berjalan. Seakan-akan berat sahaja langkah ketika di atur. Sebagai ikhtiar, S meminta bantuan saya untuk 'meringankan' bebannya.

Saya sekadar membantu, jauh sekali menyembuhkan. Kesembuhan adalah hak mutlak Allah semata-mata. Saya sekadar berikhtiar dan mengamalkan setitik ilmu yang dianugerahkan-NYA. Pada pemulaan, muka S agak pucat.

Saya memulakan 'rawatan' dengan  membuat pedinding dan pasrah kepada Allah. Saya 'alirkan' tenaga ke tubuh S. Secara perlahan-lahan dan santai. S pada mulanya diam dan tidak bergerak. Minit pertama tiada apa-apa perubahan. Saya kuatkan aliran tenaga. Lebih kurang 5 minit kemudian, S mula memberi respon. Badan S bergigil. Saya tetap meneruskan 'rawatan' tanpa mempedulikan apa yang berlaku.

Badan S kian bergigil. Nafasnya makin kencang dan tersekat-sekat umpama kerbau kena sembelih. Selepas lebih kurang 10 minit saya 'alirkan' tenaga, cakra ajna saya mula bergetar. Saya mendapat 'isyarat' dan mulai nampak 'sesuatu'.

Seperti ada satu makhluk di bahagian 'kelangkang' S. Makhluk itu menjelirkan lidah seperti ingin mengisap sesuatu. Gerun juga di waktu itu. Tapi saya kuatkan hati dan tawakal kepada Allah. Saya mendapat ilham dan membina satu lembing di 'alam getaran ' dan melembing makhluk tersebut. Lembing pertama tidak membuahkan hasil. Saya buat lembing kedua dan ketiga tetapi tetap hampa. Makhluk tersebut seakan dapat menangkis serangan saya.

Saya tidak berputus asa. Saya terus membuat lembing yang keempat tetapi kali ini saya ilhamkan lembing berapi yang membara-bara. Saya terus melembing makhluk terkutuk tersebut. Dengan takdir Allah, sewaktu saya mula melembing makhluk itu, azan pun berkumandang. Makhluk itu menjerit dan terus ghaib. Hanya Allah jua yang Maha Berkuasa.

S mulai sedar dan tidak bergigil lagi. S berkata sewaktu saya memberi rawatan, terasa peha kanan terlalu berat seperti dihimpap sesuatu. Selepas rawatan, S terasa segar. Kaki kanan tidak berat lagi. Nafas mulai normal. Syukur pada Allah.

Saya mungkin perlu memberi 'rawatan' susulan kepada S kerana makhluk seperti jin dan syaitan tidak pernah berputus asa. Mereka menunggu masa kita lalai dan terus menyerang tanpa kita ketahui. Insya-Allah kita doakan S akan kembali sihat seperti sedia kala.

Cerita di atas sekadar perkongsian pengalaman. Ia adalah kisah benar. Hanya kepada Allah jua segala pujian dan Dia Maha Mengetahui segalanya.

Sekian dulu,

Yakin, Usaha, Pasrah..






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...